Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang

Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah ditubuhkan pada 14 March 2012. PYDC merupakan sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membantu merealisasikan visi secara kolektif untuk membangunkan negeri Pulau Pinang sebagai masyarakat maju dan progresif melalui pembangunan belia. Ia bertujuan untuk membangunkan golongan muda secara holistik, bekerjasama untuk memperkuatkan belia dari segi sosial dan perkembangan pendidikan, untuk membolehkan belia melaksanakan pengaruh mereka, temukan suara, kedudukan mereka dalam masyarakat dan mencapai potensi penuh dalam kehidupan.

Visi: Ke arah melahirkan belia yang berintegriti kebolehpasaran dan berdaya saing.

Misi: Untuk mendidik, membangun dan memperkasakan belia ke arah pembangunan holistik.

Sidang Muda Pulau Pinang

Sidang Muda merupakan program tahunan anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sejak tahun 2015. Program ini merupakan satu siri latihan dan bengkel latihan pendemokrasian yang bertujuan untuk menekankan nilai kesedaran sivik, demokrasi dan kewarganegaraan dalam kalangan belia.

Secara umum, usaha pendidikan pendemokrasian dan pemerkasaan belia melalui program Sidang Muda sebenarnya telah bermula di Pulau Pinang sejak tahun 2010 lagi dengan nama “Parlimen Muda”. Pada peringkat awal pelaksanaannya, program tersebut digerakkan oleh belia dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Cawangan Pulau Pinang serta dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Melebihi 500 alumni telah dilahirkan sejak penganjuran program pendidikan pendemokrasian yang kemudiannya lebih dikenali sebagai Sidang Muda. Sebahagian daripada mereka kini merupakan aktivis sosial dan politik, malah ada juga yang menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri. Tidak sedikit daripada mereka juga yang kini terus berbakti kepada masyarakat melalui platform-platform yang berlainan.

Matlamat besar Sidang Muda adalah untuk melahirkan generasi muda yang celik politik dan sedar akan peranan serta tanggungjawab mereka dalam demokrasi. Sebagai sebuah entiti yang bebas dari parti politik, Sidang Muda berhasrat untuk membentuk golongan muda Malaysia yang lebih aktif dalam politik dan hal ehwal pemerintahan negara. Satu matlamat yang jauh lebih besar daripada merekrut kader-kader parti politik.

Meskipun berpangkalan di wilayah utara, tumpuan Sidang Muda tidak semestinya terhad kepada para belia di Pulau Pinang sahaja. Secara umum, wilayah tumpuannya turut menjangkau para belia dari seluruh negara. Siri bengkel yang dianjurkan di bawah inisiatif Sidang Muda sejak dari tahun 2015 sehingga ke hari ini banyak menerima penyertaan belia dari negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan malah dari Sabah dan Sarawak.

Sidang Muda adalah satu wadah untuk menyahut seruan kerajaan. Malaysia telah memasuki ke satu landskap politik yang baharu dan mencabar, dengan dorongan menuju reformasi yang melibatkan semua lapisan masyarakat. Belia sebagai satu penggerak utama dalam arena ini. Sidang Muda memberi peluang untuk menyumbangkan pandangan dan idea, serta membentuk pemimpin beretika dan berkaliber.

Pelaksanaan program pendidikan pendemokrasian dan pemerkasaan belia yang dilakukan oleh Sidang Muda juga selari dengan matlamat kerajaan negeri Pulau Pinang dalam Visi Penang2030 iaitu untuk Memperkasa Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Masyarakat (Tema C). Dalam tema ini, kerajaan negeri Pulau Pinang secara khusus ingin menggalakkan lagi penyertaan belia dalam kehidupan masyarakat. Antara aspek penting yang ditekankan proses penggalakan ini adalah dengan memperkasakan organisasi-organisasi kemasyarakatan terutamanya dalam kalangan belia dan pelajar.

Objektif

  1. Memberi pendedahan mengenai nilai sivik yang meliputi kenegaraan, kewarganegaraan (citizenship) dan pemerkasaan komuniti (community empowerment);
  2. Memupuk peserta dengan nilai pemikiran kritis, menyelesaikan masalah dan kepimpinan;
  3. Melengkapkan anggota komuniti dengan kemampuan mengenal pasti, menganalisa dan mencadangkan penyelesaian masalah atau isu di peringkat komuniti;
  4. Meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara komuniti dengan agensi kerajaan yang berkaitan baik di peringkat kerajaan tempatan atau kerajaan negeri.