Perutusan EXCO Belia dan Sukan Pulau Pinang
Saya berasa sungguh terharu kerana dapat berjumpa dengan semua Ahli Sidang Muda secara bersemuka di dewan yang mulia ini, terutamanya ketika pandemik COVID-19 ini.
Penglibatan dan pendapat anak muda dalam bidang politik amatlah penting dalam pembangunan negara terutamanya untuk menjamin kestabilan negara yang bertunjangkan masyarakat majmuk. Walaupun sistem pendidikan formal memainkan peranan yang penting untuk melahirkan kematangan politik belia negara, namun sosialisasi belia dalam masyarakat arus perdana juga merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan formal sedia ada bagi menghasilkan kematangan politik generasi belia negara.
Selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam visi Penang2030 bagi memperkasakan penyertaan sivik dan secara khususnya untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam kehidupan masyarakat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah MMK Belia dan Sukan melalui pihak PYDC telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Program Sidang Muda setiap tahun sejak tahun 2015.
Selain daripada usaha Sidang Muda untuk menggalakkan penyertaan golongan belia, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah meluluskan had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri dari 21 tahun ke 18 tahun di persidangan DUN yang lepas. Ini merupakan satu usaha yang secara langsung dan signifikan bagu memberi peluang kepada golongan muda untuk melibatkan diri dalam bidang politik. Perkara ini juga sama seperti pelaksanaan Undi18 yang akan melibatkan golongan belia dalam menentukan dan mencorak lanskap politik yang diingini.
Saya berharap program ini mampu meningkatkan penyertaan belia dalam proses pembuatan keputusan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan mendapatkan persepsi belia berkenaan Pulau Pinang dan negara daripada segi politik, sosial dan ekonomi.
Akhir kata, saya berharap anda semua akan memasuki dewan yang mulia ini dengan gelaran Yang Berhormat yang diberi mandat oleh rakyat pada masa hadapan.