Sidang Media Pelancaran Sidang Muda 2021
Tarikh: 22 Mac 2021
Secara rasminya Sidang Muda 2021 bermula dengan pelancaran untuk penyertaan Bengkel Demokrat Muda pada hari ini!
Ini merupakan titik permulaan untuk Sidang Muda 2021 yang telah disusun semula dengan modul yang baharu untuk Bengkel Demokrat Muda dan juga mekanisme Persidangan Sidang Muda yang baharu.
Bengkel Demokrat Muda 2021 1.0
Tarikh: 9 – 11 April 2021
Bengkel Demokrat Muda yang pertama telah dibuka tirai secara rasmi pada 9 April 2021 bertempat di Bayview Hotel George Town Penang. Bengkel ini telah dijalankan sepanjang 3 hari 2 malam secara bersemuka. Sesi ini telah disertai oleh seramai orang belia.
Sesi Interaksi Bersama Pemimpin
Untuk setiap sesi Bengkel Demokrat Muda, seorang pemimpin akan dijemput untuk berkongsi tentang perjalanan atau cerita beliau mengenai pengalaman di NGO, dan parti politik sebagai ahli politik dan juga seorang aktivis.
Untuk sesi ini, YB Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota) telah dijemput untuk menghadiri Sesi Bersama Pemimpin. Isu hangat ketika itu turut sempat dibincangkan oleh peserta dan YB Gooi termasuklah isu vaksinasi.
Sesi Simulasi Sidang
Untuk lebih mengaplikasikan input dari sesi sebelum ini, satu sesi Simulasi Sidang telah diadakan pada hari ketiga. Ini telah memberi peluang kepada peserta untuk menimba pengalaman dan dapat didedahkan dengan proses membuat keputusan melalui mekanisme seperti Dewan Undangan Negeri.
YB Chris Lee Chun Kit (ADUN Pulau Tikus) telah hadir dan bertindak sebagai Speaker Simulasi tersebut. Para peserta telah membahaskan oleh para peserta, iaitu “Menyokong bahawa UNDI18 tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia”.
Bengkel Demokrat Muda 2021 Versi Maya 1.0
Tarikh: 10, 11 & 18 Julai 2021
Buat pertama kalinya, Bengkel Demokrat Muda telah dilangsungkan secara maya. Perkara ini telah disebabkan oleh situasi pandemik semasa serta kekangan pelaksanaan aktivit sosial.
Modul untuk bengkel tersebut telah disusun semula berdasarkan kaedah maya dan dilangsungkan selama 3 hari dalam tempoh 2 minggu.
Sesi Interaksi Bersama Pemimpin
“Sudikah anda bekerja dengan masyarakat dan mengotorkan tangan anda tanpa kehadiran seorang media?”, kata Siti Rahayu Baharin, pengasas bersama parti Muda dan pengasas bersama Buku Jalanan Chow Kit. Beliau telah dijemput untuk sesi interaksi bersama pemimpin pada hari kedua Bengkel Demokrat Muda.
Beliau telah melontarkan persoalan tersebut sebagai nasihat untuk peserta. Selain itu, beliau juga telah berkongsi kisah dan pengalaman beliau tentang perjalanan sebagai seorang pejuang hak pendidikan melalui inisiatif buku jalanan sampailah ke perjuangan di dunia politik.
Sesi Simulasi Sidang
YB Chris Lee Chun Kit telah bertindak sebagai Speaker Simulasi untuk mempengerusikankan simulasi tersebut. Dua usul yang telah dibincangkan dan dibahaskan pada Simulasi Sidang adalah “Menyokong bahawa UNDI18 tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia” dan “Menyokong bahawa Akta Anti Lompat Parti harus dikuatkuasakan di Malaysia”
Bengkel Demokrat Muda 2021 Versi Maya 2.0
Tarikh: 14, 15 & 21 Ogos 2021
Sesi Interaksi Bersama Pemimpin
Satu fakta menarik mengenai Undi 18; pada tahun 1971, cadangan Undi 18 pernah diusulkan di Dewan Rakyat oleh YB Lim Kit Siang yang berumur 30 tahun pada masa itu. Selepas hampir 40 tahun barulah usul tersebut diluluskan. YB Steven Sim menekankan bahawa ketabahan dan prinsip dalam arena politik amatlah penting.
“Politik adalah mengenai air paip bersih, makanan atas meja serta ruang untuk individu dan komuniti mencapai aspirasi mereka” kata YB Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Beliau telah dijemput untuk sesi Interaksi Bersama Pemimpin pada hari kedua. Beliau telah berkongsi tentang kepercayaan politik beliau sepanjang perjalanan di arena politik dan bagaimana politik itu mempengaruhi setiap titik kehidupan kita.
Sesi Simulasi Sidang
Seramai 15 orang belia telah menjadi Yang Berhormat dan membahaskan dua usul pada Simulasi Sidang yang telah dilangsungkan pada hari terakhir bengkel tersebut. Bengkel tersebut juga telah dipengerusikan oleh YB Chris Lee. Antara usul yang dibincangkan adalah “Menyokong bahawa UNDI18 tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia”, dan “Usul larangan lompat parti sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat”.
“Politik adalah hak setiap rakyat Malaysia. Hak untuk bersuara adalah hak setiap warga Malaysia. Kita mesti membawa suara itu kepada mereka yang memerintah.” Pesan YB Chris Lee Chun Kit kepada para peserta pada hari penutupan Simulasi Sidang Bengkel Demokrat Muda.
Bengkel Demokrat Muda 2021 Versi Maya 3.0
Tarikh: 18, 19 & 25 September 2021
Sesi Interaksi Bersama Pemimpin
Pada sesi yang terakhir ini, YB Syerleena Abdul Rashid (ADUN Seri Delima) telah dijemput ke Sesi Interaksi Bersama Pemimpin untuk berkongsi pengalaman beliau sebagai wakil rakyat dan juga seorang aktivis sosial.
“Sebagai sebuah negara yang sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang tiada penghujungnya. Tidak boleh dinafikan bahawa kita memerlukan golongan muda untuk bersama menyertai untuk membina semula negara yang kian parah akibat wabak ini. Dengan idea dan pandangan baharu oleh golongan muda, pembuatan dasar-dasar yang lebih baik mampu untuk memberikan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.”
Beliau menekankan bahawa anak muda merupakan aset yang amat penting untuk pembangunan negara dari segi kreativiti dan inovasi.
“Sebagai asas pembentukan amalan demokrasi, mengundi merupakan tindakan asas penyertaan masyarakat umum khususnya belia dalam menentukan wakil kepimpinan mereka. Secara tidak langsung, undi adalah perlambangan yang dibuat oleh golongan belia agar suara dan hasrat mereka didengari.”
Sesi Simulasi Sidang
2 usul telah dibahas oleh 21 peserta pada Sesi Simulasi Sidang yang terakhir. Antara usul yang telah dibahaskan adalah “Usul ini menyokong bahawa UNDI18 tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia” dan “Dewan Ini Mencadangkan Kerajaan Negeri Menyediakan Pelan Tindakan Strategik Pasca-Pandemik yang Memberi Fokus terhadap Pemerkasaan Wanita dan Belia.”
Walaupun usul yang dibincangkan akan memanfaatkan belia tetapi kedua-dua pihak turut memberi banyak pendapat dari pelbagai sudut dalam perbincangan untuk mendalami, mengukuhkan dan menyeluruhkan lagi cadangan tersebut
Sekalung penghargaan turut diucapkan kepada YB Chris Lee Chun Kit yang sudi meluangkan masa beliau untuk menjadi Speaker Simulasi Sidang bagi setiap sesi Bengkel Demokrat Muda 2021.
Bengkel Persediaan Persidangan Sidang Muda
Tarikh: 16 & 17 Oktober 2021
Bengkel Persediaan Sidang Muda telah dianjurkan untuk melengkapkan para Ahli Sidang Muda untuk sedia beraksi di Persidangan Sidang Muda. Ahli Sidang Muda telah dipilih melalui penilaian berdasarkan aspekpemahaman, pembentangan, kandungan, dinamik kumpulan serta penglibatan sepanjang bengkel.
Selepas 4 sesi Bengkel Demokrat Muda telah selesai, peserta bengkel akan dinilai berdasarkan aspek penilaian merangkumi pemahaman, pembentangan, kandungan, dinamik kumpulan serta penglibatan sepanjang bengkel.
Akhirnya, 38 orang telah berjaya dipilih sebagai Ahli Sidang Muda.
Sebelum memasuki Dewan Undangan Negeri, satu Bengkel Persediaan Sidang Muda 2021 telah dianjurkan selama 2 hari secara maya untuk pemahaman yang lebih mendalam tentang proses dan perjalanan Dewan Undangan Negeri, peranan dan tanggungjawab seorang EXCO ataupun backbencher serta sesi sumbang saran atas usul-usul yang telah dikemukakan.
Secara ringkasnya, Bengkel Persediaan Sidang Muda 2021 telah melengkapkan para Ahli Sidang Muda untuk bertindak dan beraksi di Persidangan Sidang Muda nanti.
Taklimat Perjalanan & Protokol Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Untuk melengkapkan para Ahli Sidang Muda dengan pengetahuan tentang proses serta perjalanan DUN dengan lebih lanjut, Encik Mohamad Radzi bin Razmi (Pembantu Tadbir Kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang) telah dijemput untuk memberi satu taklimat mengenai topik tersebut.
Beliau telah memberi penerangan tentang pengenalan DUN dari aspek proses penyediaan soalan DUN, proses persidangan DUN, peraturan-peraturan majlis mesyuarat dan sebagainya.
Sesi Perkongsian EXCO – YB. Soon Lip Chee (EXCO Belia dan Sukan)
Soon Lip Chee selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang telah berkongsi mengenai pengalaman beliau sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau juga dikenali sebagai ahli EXCO.
Beliau turut berkongsi tentang inisiatif yang telah dilaksanakan untuk memperkasakan golongan belia dan juga membangunkan bidang sukan seperti inisiatif “Belia untuk Masa Depan” serta “Sukan untuk Semua”. Peserta turut diberi gambaran mengenai proses DUN dan peranan EXCO yang mampu diimplikasikan semasa persidangan Sidang Muda.
Secara umumnya, peranan seorang Ahli EXCO adalah untuk menggubal perundangan dan dasar negeri yang berkaitan dengan portfolio masing-masing. Dalam kalangan Ahli Sidang Muda juga terdapat 11 orang yang dipilih sebagai ahli EXCO yang bertanggungjawab untuk menjawab soalan lisan yang telah dikemukakan oleh Ahli Sidang Muda.
Sesi Perkongsian ADUN – YB Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk)
Selepas perkongsian oleh YB. Soon Lip Chee, ADUN Machang Bubuk YB. Lee Khai Loon pula menyambung sesi tersebut dengan topik berkenaan peranan serta tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan.
“Dari jalan raya ke pilihan raya, hanya melalui penyertaan mampu menjadi demokrasi berfungsi untuk semua.”
Beliau memulakan perkongsiannya dengan titik permulaan perjalanan politik beliau dan seterusnya dengan kisah sebenar di sebalik gelaran Yang Berhormat.
YB Lee Khai Loon turut menyentuh tentang inisiatif pengumpulan pandangan daripada penduduk kawasan untuk persediaan soalan DUN. Beliau menyatakan bahawa penyertaan rakyat haruslah daripada pelbagai lapisan masyarakat, supaya suara rakyat akan didengar.
Pesanan YB Lee Khai Loon kepada anak muda adalah, sekiranya kita mempunyai idea yang tidak sempurna, kongsikan idea tersebut supaya perbincangan antara satu sama lain mampu menghasilkan idea yang lebih sempurna.
Sesi Perbincangan Usul
Untuk perbahasan dan perbincangan yang lebih berkualiti, para fasilitator mengulas semua usul yang telah dikemukakan oleh para peserta. Sebanyak 22 usul telah dikemukakan dan akhirnya 10 usul telah diterima mengikut portfolio masing-masing.
Para pencadang usul turut diberi peluang untuk menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai ideologi serta konsep di sebalik usul mereka yang bakal dibawa masuk ke Persidangan Sidang Muda. Fasilitator turut memberi komen dan cadangan penambahbaikkan untuk lagi mengukuhkan kandungan usul.
Sesi Simulasi Sidang Muda
Sesi ini telah dijalankan pada hari kedua bengkel. Implikasi konsep yang telah diterangkan semasa taklimat proses dan protokol DUN perlu diadakan.
Dalam sesi simulasi ini, para Ahli Sidang Muda akan memainkan peranan masing-masing sebagai EXCO, backbencher atau pembangkang untuk membiasakan diri dengan proses DUN. YB. Daniel Gooi turut hadir untuk beraksi sebagai Speaker Simulasi Sidang Muda bagi memberikan pendedahan dan bimbingan terhadap perkara yang bakal berlaku sepanjang persidangan dalam sesi soalan lisan dan sesi perbahasan usul.
Sidang Media Pengumuman Ahli Sidang Muda
Tarikh: 25 Oktober 2021
38 orang Ahli Sidang Muda pun telah bersedia! Satu sidang media telah diadakan untuk memperkenalkan 38 orang Ahli Sidang Muda yang bakal bersidang pada 30 Oktober nanti!
Persidangan Sidang Muda 2021
Tarikh: 30 Oktober 2021
Persidangan Sidang Muda 2021 merupakan Finale untuk siri program Sidang Muda 2021 yang bermula sejak awal tahun.
Persidangan Sidang Muda 2021 telah disusun semula dengan menjadikan perjalanan persidangan lebih serupa dengan persidangan DUN yang sebenar supaya para Ahli Sidang Muda mampu mengalami proses pembuat keputusan di peringkat Negeri dengan lebih tepat dan realistik. Persidangan Sidang Muda tahun ini telah dibahagikan kepada 2 sesi, iaitu Sesi Soalan Lisan dan Sesi Perbahasan.
YAB. Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang telah merasmikan persidangan dengan kehadiran seramai 38 Ahli Sidang Muda dan YB. Dato’ Law Choo Kiang pula mengerusikan persidangan tersebut.
Sesi Soalan Lisan
Persidangan Sidang Muda 2021 dimulai dengan Sesi Soalan Lisan dan sebanayk 26 soalan lisan telah dikemukakan kepada 11 orang EXCO yang memegang portfolio masing-masing.
Untuk Sidang Muda pada tahun ini, Barisan EXCO Sidang Muda diberi peluang untuk membincang soalan-soalan yang diterima bersama pejabat EXCO untuk mendapat fakta dan angka untuk menyokong jawapan untuk soalan lisan yang telah ditanya.
Sesi Perbahasan Usul
Selesai sahaja Sesi Soalan Lisan, persidangan diteruskan dengan Sesi Perbahasan Usul. Sesi Perbahasan Usul adalah sesi untuk Ahli Sidang Muda mengemukakan cadangan kepada dewan untuk membahas dan mendapatkan sokongan majoriti.
Taklimat Projek Penempatan Ahli Sidang Muda (Pusat Khidmat)
Tarikh: 17 Disember 2021
Satu taklimat telah diadakan bersama Pusat Khidmat untuk membuat pengenalan dan penerangan tentang inisiatif baharu yang dilancarkan oleh PYDC untuk lagi meningkatkan penyertaan Ahli Sidang Muda dalam bidang tersebut.
Tujuan projek ini adalah untuk meneruskan usaha program Sidang Muda 2021 untuk memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai proses demokrasi di Malaysia serta meningkat penyertaan sosial belia.
Taklimat Projek Penempatan Ahli Sidang Muda (Ahli Sidang Muda)
Tarikh: 22 Disember 2021
Satu taklimat telah diadakan bersama Ahli Sidang Muda untuk membuat pengenalan dan penerangan tentang Projek Penempatan kepada Ahli Sidang Muda.
Projek Penempatan Ahli Sidang Muda 2021
Tarikh: 03 Januari 2022 – 31 Mac 2022
Projek Penempatan telah berlangsung sepanjang 3 bulan dari 3 Januari 2022 sehingga 31 Mac 2022. Seramai 20 Ahli Sidang Muda dan 14 Pusat Khidmat telah mengambil bahagian dalam projek tersebut.
Para Ahli Sidang Muda telah melibatkan diri melalui pelbagai kaedah bersama Pusat Khidmat untuk menyempurnakan Projek Penempatan Ahli Sidang Muda. Antara penglibatan merangkumi pengurusan aduan, aktiviti turun padang, penulisan kenyataan media dan ucapan, menghadiri ke mesyuarat, penganjuran program komuniti dan sebagainya