GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa persidangan Sidang Muda yang diadakan saban tahun membawa manfaat kepada golongan belia untuk menjalani pelbagai latihan dan menunjukkan bakat mengenai politik serta isu-isu semasa.
Menurutnya, sebegai ahli politik, beliau juga bangga kerana inisiatif mengasah bakat muda berkaitan telah wujud di Pulau Pinang 10 tahun lalu dan menjadi ikutan di negeri-negeri lain.
“Saya percaya sepanjang sidang ini berlangsung, ahli-ahli kali ini masing-masing telah menunjukkan bakat dalam memberikan hujahan masing-masing sebagai barisan Exco, backbenchers serta juga pembangkang dengan membawa isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat berserta penyelesaian serta cadangannya.
“Umumnya, dewan yang mulia dan Speaker Dewan ini telah menjadi saksi kehebatan barisan ahli Sidang Muda dalam berinteraksi antara satu sama lain untuk memberikan hujahan dan perbahasan melalui penyelidikan dasar serta isu semasa mengenai topik disalinasi air laut atau proses penyahgaraman air laut untuk pembekalan air.
“Selain itu, pendedahan ini juga amat penting kerana sebagai ahli politik, anda perlu berbahas di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat secara berfakta,” ucapnya pada Majlis Penutup Persidangan Dewan Muda di DUN Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Speaker Sidang Muda, Syerleena Abdul Rashid dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan bahawa setiap isu yang dibawa oleh ahli dewan adalah penting untuk dibawa kepada pengetahuan jabatan-jabatan kerajaan terlibat.
“Perkara atau isu yang dibangkitkan akan diberi perhatian oleh jabatan-jabatan mahupun barisan Exco untuk ditambah baik sekiranya ada kelemahan, dan kukuhkan apa yang sudah dianggap baik.
“Saya difahamkan bahawa setakat ini kita sudah mempunyai 400 alumni Sidang Muda tidak termasuk 400 Sidang Wanita yang juga diadakan setiap tahun.
“Ini bermakna, dalam 10 tahun, seramai 800 bakat dilahirkan, maka saya juga berharap program Sidang Muda ini akan diteruskan pada masa akan datang,” ulasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.